BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, December 24, 2009

Sekadar Renungan

Kadangkala Umar bin Khathab r.a memegang sebatang kayu dan berkata,“Seandainya aku menjadi batang kayu ini.“ Terkadang ia berkata,“Seandainya ibuku tidak melahirkanku.“ Suatu ketika, saat ia sibuk dengan pekerjaannya, seseorang mendatanginya dan berkata,“Si fulan telah. Menzhalimiku. Engkau hendaknya menuntut balas untukku.“ Umar bin Khathab r.a segera mengambil sebatang cambuk dan memukul orang itu sambil berkata,“Ketika kusediakan waktu untukmu, kamu tidak datang, sekarang aku sedang sibuk dengan urusan lain, kamu datang dan memintaku untuk menuntut balas.“ Orang itu pun pergi. Lalu Umar bin Khathab r.a menyuruh kembali orang tersebut. Setelah datang, Umar bin Khathab r.a memberikan cambuk kepadanya dan berkata,“Balaslah aku.“ Jawab orang itu,“Aku telah memaafkanmu karena Allah.“ Umar bin Khathab r.a segera pulang kerumahnya dan mengerjakan shalat dua rakaat. Lalu ia berbicara kepada dirinya sendiri,“Hai Umar, dahulu kamu rendah, sekarang Allah meninggikan derajatmu. Dahulu kamu sesat, lalu Allah memberimu hidayah. Dahulu kamu hina, lalu Allah memuliakanmu, dan Dia telah menjadikanmu sebagai raja bagi manusia. Sekarang telah datang seorang laki laki yang mengadukan nasibnya dan berkata,“Aku telah dizhalimi, balaskanlah untukku, tetapi kamu telah memukulnya. Kelak pada hari kiamat, apa jawabanmu dihadapaan Rabbmu?“ Lama sekali Umar bin Khathab r.a menghukumi dirinya senditi. (Usudul-Ghabah).

Pelayan Umar bin Khathab r.a, Aslam r.a, berkata,“Suatu ketika Umar pergi ke Harrah (salah satu kota dekat Madinah). Lalu terlihat nyala api di atas gunung. Umar bin Khathab r.a berkata,“Itu mungkin kafilah yang kemalaman yang tidak sampai ke kota, mereka terpaksa menunggu diluar kota. Marilah kita lihat keadaan mereka, bagaimana penjagaan malamnya!“ Setibanya disana, tampak seorang wanita dengan beberapa anak kecil menangis di sekelilingnya. Wanita itu sedang merebus air dalam kuali diatas tungku yang menyala. Umar bin Khathab r.a memberi salam kepada wanita tersebut dan meminta izin untuk mendekat. Ia bertanya,”mengapa anak-anak itu menangis?” Jawab wanita itu, “Mereka kelaparan” Umar bin Khathab r.a bertanya,“ Apa yang sedang engkau masak dalam panci itu? Jawabnya,”Panci ini berisi air, hanya untuk menghibur anak-anak agar mereka senang dengan menyangka aku sedang memasak makanan untuk mereka, sehingga mereka tertidur. Semoga Allah menghukum Amirul Mukminin Umar yang tak mau tahu kesusahan ini.” Umar bin Khathab r.a menangis dan berkata,“Semoga Allah merahmatimu, tetapi bagaimana mungkin Umar mengetahui keadaanmu?” Jawabnya,”Dia pemimpin kami, tetapi tidakmemperhatikan keadaan kami.”

Aslam r.a melanjutkan ceritanya,” Lalu Umar r.a mengajakku kembali ke Madinah. Ia pun mengeluarkan gandum, kurma, minyak lemak, dan beberapa helai pakaian, juga beberpa dirham dari Baitul-Mal. Setelah karung penuh, ia berkata keadaku,“Wahai Aslam letakan karung ini dipundakku.“ Aku menjawab,“Biarkan aku yang membawanya, ya Amirul Mukminin.“ Sahut Umar bin Khathab r.a,“Tidak, letakan saja di pundakku/“ Dua tiga kali aku menawarkan diri dengan sedikit memaksa. Ia berkata ,“Apakah kamu akan memikul dosa-dosa ku pada hari kiamat? Tidak, aku sendiri yang akan memikulnya dan yang bertanggung jawab terhadap hal ini.“ Aku pun terpaksa meletakkan karung itu kebahunya. Lalu ia bawa karung tadi ke kemah tadi dan aku ikut bersamanya. Setibanya disana, ia langsung memasukkan tepung dan sedikit lemak, ditambah kurma lalu diaduk, dan ia sendiri yang menyalakan tungkunya.“

Aslam r.a bercerita,“Kulihat asap mengenai janggutnya yang lebat, ia memasak sampai matang. Lalu, ia sendiri yang menghidangkan makanan itu dengan tangannya yang penuh berkah kepada keluarga itu. Selesai makan, anak-anak itu bermain dengan riangnya. Wanita itu pun sangat senang, ia berkata,“Semoga Allah memberimu balasan yang baik, seharusnya engkau lebih berhak menjadi khalifah daripada Umar.“ Untuk menyenangkan hati ibu tadi, Umar bin Khathab r.a berkata,“Jika engkau menjumpai khalifah, engkau akan menjumpaiku disana.“ Kemudian Umar bin Khathab r.a. meletakkan kedua tangannya dibawah dan duduk diatas tanah. Beberapa saat kemudian ia meninggalkan mereka. Umar bin Khathab r.a berkata kepada Aslam r.a.“Aku tadi duduk disitu karena aku telah melihat mereka menangis dan hatiku ingin duduk sebentar menyaksikan mereka tertawa.“(Asyaru Masyahir).

Dalam shalat shalat shubuhnya, Umar bin Khathab r.a selalu membaca surat-surat Al-Quran yang panjang. Kadangkala ia membaca surat Al-Kahfi, Thaha, dan surat lainnya sambil menangis terisak isak, sehingga suara tangisnya terdengar hingga beberapa shaf ke belakang. Suatu ketika, Umar r.a membaca surat Yusuf dalam shalat shubuhnya. Ketika itu sampai di ayat, yang artinya :
“Ya’qub menjawab, sesungguhnya hanya kepada Allah, aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku.” (Yusuf : 86).
Ia menangis terisak isak sampai tidak terdengar suaranya. Terkadang ia terus membaca Al-Quran sambil menangis didalam shalat tahajjudnya hingga terjatuh sakit.

Faedah :
Inilah keteladanan rasa takut seseorang kepada Allah, yang namanya sangat ditakuti raja raja. Setelah 1300 tahun berlalu, adakah hari ini seorang raja, pejabat, atau pemimpin biasa yang memiliki tanggung jawab dan kasih saying terhadap rakyatnya sedemikian rupa seperti Umar bin Khathab r.a.?

Friday, December 18, 2009

Snow Again

Awal Muharram bumi London dilimpahi snow. Ini merupakan suatu kebesaran Allah terhadap makhluknya supaya bersyukur diatas nikmatnya yang tak terhingga.

Jom Layan...

































Wednesday, December 16, 2009

Awal Muharram 1431

Selamat menyambut Maal Hijrah 1431 semoga segala usaha dirahmati oleh Allah S.W.T. Amin. So jangan lupa membaca doa akhir tahun dan awal tahun.

Doa Akhir Tahun






















Doa Awal Tahun

Tajuk Hari Ini

Patutlah 2 3 hari ni sejuk sangat.Rupa2nya snow nak turun hari ni.Kadang2 aku suka juga kalau snow ni turun, tp kengkadang rasa boring pun ada sebab terlalu sejuk.Ish..ish..ish.

Layan aje la....










Friday, December 11, 2009

Sejarah 4 mazhab? bahagian 4

Bukankah imam-imam mujtahid sendiri tidak pernah memaksa sesiapapun untuk mengikut mereka? Dan bukankah Imam Syafie sendiri mengatakan bahawa apabila sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku?

Menjawab persoalan ini, memang benar imam-imam mujtahid sama sekali tidak pernah memaksa murid mereka mengikut mazhab atau pendapat-pendapat yang mereka keluarkan. Tetapi harus diingatkan bahawa imam-imam mujtahid tersebut mempunyai anak murid yang sudahpun mencapai tahap mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk membezakan antara dua dalil.

Jadi perkataan Imam Syafie misalnya ditujukan kepada Imam Muzani, perkataan Imam Abu Hanifah ditujukan kepada Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad.

Apabila Imam Syafie mengatakan bahawa, “Apabila sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku,” yang dimaksudkan ialah apabila sahih sesebuah hadis dan ia menepati usul yang telahku istinbatkan dari al-Quran dan sunnah maka itulah mazhabku. Ini dapat kita ketahui sekiranya kita mempelajari usul-usul dan kaedah istinbat yang ditetapkan oleh Imam Syafii rah.a sendiri.

Bukanlah sahih di sini bermakna sahih pada pandangan ahli-ahli hadis semata-mata. Sekiranya maksud Imam Syafie adalah seperti itu maka sudah tentu Imam Syafie akan mengatakan bahawa menyentuh wanita yang bukan mahram tidak akan membatalkan wudhu. Tetapi memandangkan terdapat dalil-dalil lain yang perlu diambil kira, maka langkah selamat ialah dengan mengatakan bahawa ianya membatalkan wudhuk.

Oleh itu, kita tidak boleh menganggap bahawa kesemua yang kita anggap sahih adalah mazhab Syafie melainkan kita sendiri sudah mencapai darjat Imam Muzani. Pun begitu tidak banyak fatwa Imam Syafie ditolak oleh pengikut beliau walaupun selepas kewafatannya.

Sekiranya maksud kalam Imam Syafie adalah seperti yang didakwa oleh mereka yang tidak bermazhab, sudah tentu pakar-pakar fiqah dan hadis seperti Imam Nawawi dan Hafiz ibnu Hajar akan mengubah fatwa mazhab Syafie kepada "yang lebih sahih." Tetapi hal sedemikian tidak terjadi dan menunjukkan bahawa maksud perkataan Imam Syafie bukanlah seperti yang mereka dakwa.

Imam Abu Hanifah sendiri misalnya tidak pernah memaksa Abu Yusuf mengikut mazhab beliau. Tetapi telah diriwayatkan pada satu ketika Imam Abu Yusuf telah melancarkan halaqah ilmunya sendiri, lalu Imam Abu Hanifah menghantar wakil untuk mengajukan beberapa soalan yang musykil kepada Imam Abu Yusuf sambil mengatakan kepada wakil tersebut sekiranya Abu Yusuf mengatakan "Ya" salah, dan sekiranya dia mengatakan "Tidak" pun salah. Akhirnya Imam Abu Yusuf kembali menghadirkan diri ke majlis Imam Abu Hanifah.

Tindakan Imam Abu Hanifah di atas bukanlah untuk memaksa Imam Abu Yusuf untuk bermazhab dengan mazhab Hanafi, tetapi untuk mengingatkan Imam Abu Yusuf bahawa beliau masih belum bersedia untuk mengemukakan ijtihad beliau sendiri walaupun beliau adalah anak murid Imam Abu Hanifah yang paling kanan.

Kesemua yang mempelajari sejarah tentu tahu bahawa Imam Abu Yusuf telah dilantik sebagai qadi besar empayar Abbasiah. Bukanlah calang-calang boleh menjadi ketua qadi pada zaman yang dipenuhi ilmuan-ilmuan berwibawa.

Mengapa hanya mengiktiraf empat mazhab dan tidak lebih?

Pada zaman Baginda s.a.w. para sahabat berpandukan ajaran yang mereka dapat secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. sendiri. Dan selepas kewafatan Baginda s.a.w. ramai sahabat yang bertaqlid dengan pendapat mereka-mereka yang rapat dengan Bagida s.a.w. seperti khalifah rashidin, Ibnu Mas’ud dan lain-lain. Namun selepas tersebarnya agama ke seluruh pelusuk alam sahabat berhijrah ke tanah-tanah yang dijajah demi untuk mengajar kepada saudara-saudara baru mengenai Islam.

Mereka menyampaikan apa yang mereka lihat dan dengar sendiri dari Baginda s.a.w. Dan bermulalah zaman penyebaran hadis, dengan tabi’in mula mengembara dan berjumpa dengan para sahabat demi untuk mendapat ajaran sunnah Baginda s.a.w. Demikianlah juga pada zaman tabi’-tabi’in. Ketika itu taqlid terhadap individu tertentu sudahpun berlaku.

Penduduk madinah misalnya banyak bertaqlid dengan pendapat Zaid bin Thabit yang juga adalah penulis wahyu rasulullah s.a.w. Penduduk Basrah dan Kufah bergantung dengan pendapat Ibnu Mas’ud. Penduduk Syam bertaqlid dengan Muadz bin Jabal r.a dan penduduk Makkah dengan Ibnu Zubair r.a. begitulah halnya ummat ketika itu memahami bahawa kita perlu mengikut amalan mereka-mereka yang jauh memahami sunnah baginda s.a.w.

Selepas zaman sahabat sehinggalah abad ketiga hijrah memang terdapat ribuan mujtahidin seluruh dunia. Imam-imam mujtahid seperti Abu Hanifah, Hasan Basri, Sufyan Thauri, Sufyan bin Uyainah, Syafie, Malik bin Anas, Ahmad bin Hanbal, Awza’i, Ishaq bin Rahwayh/Rahuyah dan lain-lain adalah di antara mereka-mereka yang mempunyai ramai pengikut dan muqallid.

Namun selepas abad keempat hanya tinggal beberapa mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafii, Hanbali, Awza’i, dan Zahiri. Mazhab-mazhab lain semakin sedikit pengikutnya memandangkan empat mazhab ini menjadi ikutan di kota-kota utama dunia Islam ketika itu. Hanafi dan Hanbali di Iraq, Maliki di Andalusia dan Afrika, Syafie di tanah Parsi dan di Mesir, Awza’i di tanah Syam dan hanya sebilangan kecil Zahiriyyah iaitu mereka-mereka yang bertaqlid dengan Daud az-Zhahiri.

Selepas abad kelima Awza’i dan Zahiriyyah juga lenyap walaupun pendapat mereka dibukukan oleh pengikut-pengikut mereka. Dan kekallah empat mazhab sehingga ke hari ini kerana masih mempunyai pengikut dan tradisi ini diamalkan zaman-berzaman. Ummah sejak dulu hingga kini berasa selesa dengan bertaqlid kerana mereka sedar ketidakmampuan mereka dalam berijtihad.

Dalam tempoh ummah mula bertaqlid iaitu sejak abad ketiga hijrah hingga kini terdapat ramai ulama hadis yang lahir seperti Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah, Baihaqi, Tahawi, Daruqutni dan lain-lain yang mana ilmu mereka dalam bidang hadis dan agama tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak. Namun mereka sendiri berasa selesa dengan bertaqlid akan para imam.

Sesungguhnya bertaqlid dengan imam seperti yang dilakukan oleh jumhur ummah dan ulama adalah sesuatu yang amat mustahak lebih-lebih lagi pada masa kini yang penuh dengan kejahilan dan kekufuran. Mereka sudah memudahkan urusan ummah dalam segala segi dan bidang. Memilih untuk berijtihad sendiri dan meninggalkan ajaran mereka yang jauh lebih hebat dari kita adalah sama seperti meninggalkan Mann dan Salwa hanya semata-mata demi untuk mendapatkan timun dan bawang.

Dan Allah ta’ala jualah yang Maha Mengetahui.

Wednesday, December 9, 2009

Perbahasan Berkenaan "إذا صح الحديث فهو مذهبي " Bahagian 3

Terdapat 4 marhalah (peringkat ) bagi menentukan adakah benar seseorang tersebut benar-benar pakar di dalam Ilmu hadis.(Marhalah ini saya petik secara ringkas daripada risalah al-Syeikh Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani hafizahullah ):

Peringkat pertama

Di dalam peringkat ini seseorang tersebut perlulah mengetahui kedudukan perawi hadis tersebut samaada ianya Thiqah, Saduq dan sebagainya. Serta perlu juga memerhatikan hafalan dan kekuatan ingatan perawi tersebut.Perlu mengetahui tentang martabat thiqah, tempat mana yang perlu didahulukan jarah dan ta’dil(nama ilmu di dalam Mustalah Hadis bagi menentukan darjat seorang perawi).Mengetahui tentang bilakah tarikh perawi tersebut meninggal duni dan dari manakah asalnya dan sebagainya. Pendek kata kesemua ilmu yang diterangkan di dalam kitab Mustalah Hadis perlu diketahui secara lumat dan mendalam oleh seseorang tersebut.

Peringkat kedua

Peringkat ini lebih sukar daripada sebelumnya.Setelah seseorang tersebut mengetahui secara mendalam tentang mustalah hadis tersebut maka perlu pula baginya untuk mengkaji secara teliti dan mendalam hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab Sihah, Sunan, Musnad, Jawami’, Mu’jam, al-Ajza’dan lain-lain kitab hadis bagi mencari sesebuah hadis tersebut adakah benar-benar bertentangan dengan pendapat sang Imam. Perlu juga baginya untuk mengetahui adakah hadis tersebut Mutawatir, Masyhur dan sebagainya. Perlu juga baginya mengetahui adakah hadis tersebut Syaz atau mungkar . Perlu juga baginya mengetahui adakah hadis tersebut marfu’, mauquf atau maqtu’.

Oleh sebab itulah al-Imam Abu Hatim al-Razi rahimahullah menyebutkan: “ Tidaklah seseorang tersebut dikatakan benar-benar pakar di dalam bidang hadis melainkan setelah kami (para ulama hadis )menulis hadis tersebut dengan 60 keadaan dan dia mampu menerangkan satu persatu hadis-hadis tersebut tentang hukumnya sama ada Syaz, Mungkar, Ma’ruf, Mutawatir, Marfu’, Mauquf, Fard dan Masyhur.”

Peringkat ketiga

Peringkat ini lebih sukar daripada kedua-dua peringkat di atas. Setelah benar-benar melalui kedua-dua peringkat tersebut, maka seseorang tersebut perlulah melihat sama ada hadis yang dikajinya terdapat illah(kecacatan) atau tidak. Illah yang tersembunyi menurut para ulama hadis adalah yang paling sukar ditemukan melainkan oleh ulama-ulama yang benar-benar pakar di dalam ilmu hadis. Ini diketahui dengan jelas oleh sesiapa yang mempelajari ilmu hadis dengan baik.

Peringkat keempat

Peringkat ini adalah yang paling sukar ditemukan melainkan para Mujtahid yang sampai ke peringkat mutlak. Ramai ulama hadis yang sukar mencapai peringkat ini walaupun mereka sudah mencapai ketiga-tiga peringkat sebelum ini. Walaupun mereka menghafal hadis tersebut dan mengetahui segalanya tentang ilmu hadis , tetapi di dalam permasalahan hukum hakam tetap mereka serahkan kepada para fuqaha.

Kerana itulah al-Imam al-A’mash radhiyallahu anhu menyebutkan kepada al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu:

يا معشر الفقهاء, أنتم الأطباء ونحن الصيادلة و أنت أيها الرجل أخذت بكلا الطرفين

Maksudnya:

Wahai para fuqaha, kamu adalah doktor yang mengetahui tentang ubat sesuatu penyakit, manakala kami para muhaddith (ulama hadis) merupakan pemilik ubat tersebut.Manakala kamu wahai lelaki( Imam Abu Hanifah ) , kedua-duanya kamu miliki (sebagai seorang doktor dan sebagai seorang pemilik farmasi).

Maksud kalam al-Imam al-A’mash tersebut ialah para fuqaha mengetahui di manakah sumber pengambilan hukum bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan, manakala para muhaddis akan membekalkan hadis-hadis sebagai sumber pengambilan hukum tersebut. Manakala al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu mempunyai kepakaran di dalam kedua-dua bidang tersebut(iaitu hadis dan fiqh).

Kesimpulan

Setelah kita perhatikan dan baca dengan teliti perbahasan yang saya tulis ini,jelas lagi bersuluh bahawa menghukumkan sesuatu dengan zahir hadis yang kamu(golongan wahabi) rasakan bahawa ianya bertentangan dengan kalam Imam merupakan suatu tohmahan yang tidak berasas dan tidak mengikut jalur pengajian dan pengkajian yang baik. Perbahasan yang saya buat ini mungkin agak berat bagi sesiapa yang tidak mengetahui istilah-istilah yang digunakan. Jika ada masa, saya akan menerangkannya selepas ini. Tetapi jika “ para mujtahid jadi-jadian” tidak memahaminya maka jelaslah, kamu semua tidak mencapai lagi serendah-rendah martabat tersebut. Maka perlu beristghfar dan memohon keampunan di atas keterlanjuran dan keegoan yang terdapat di dalam diri kamu.

Rujukan:

1. Majmu’ Syarah Muhazzab oleh al-Imam Nawawi rahimahullah tahqiq Syeikh al-Allamah Najib Muti’ie .Cetakan Darul A’lam Kutub

2. Risalah إذا صح الحديث فهو مذهبي oleh Syeikh al-Allamah Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani al-Hanafi hafizahullah.Cetakan Darul Iqra’.Cetakan Pertama 2005.

3. Fatawa Hadisiah oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah .Cetakan Darul Taqwa.

Tuesday, December 8, 2009

Perbahasan Berkenaan "إذا صح الحديث فهو مذهبي " Bahagian 2

Pendapat kedua yang sering digunakan oleh mereka ialah pendapat yang dikeluarkan oleh al-Imam Abu Hanifah radhiyallahuanhu iaitu :

لا ينبغي لمن لم يعرف دليلي أن يُفتي بكلامي

Maksudnya:

Tidak sepatutnya bagi seseorang yang tidak mengetahui dalil yang aku keluarkan untuk berfatwa dengan pendapatku.

Pendapat ini jelas menunjukkan bahawa ianya disebutkan kepada golongan ulama yang benar-benar alim di dalam bidang tersebut. Ini kerana perkataan “ berfatwa” tersebut tidak lain dan tidak bukan semata-mata ditujukan kepada para ulama ahli fatwa,bukannya mujtahid jadi-jadian . Ini perlu difahami dengan baik dan jelas. Perlu juga bagi seseorang tersebut melihat semula kepada syarat-syarat untuk berfatwa yang disusun oleh para ulama . Antara ulama yang menyusun tentang adab-adab fatwa ini ialah al-Imam Abu Qasim al-Soimuri rahimahullah(guru kepada al-Imam Mawardi rahimahullah), al-Imam al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah, dan al-Imam Abu Amru Ibn Salah rahimahullah. Ketiga-tiga kitab ini telah diringkaskan perbahasannya oleh al-Imam Nawawi rahimahullah dan beliau meletakkan perbahasan tersebut di dalam kitabnya Majmu’ Syarah Muhazzab.

Jika kamu membaca semula syarat-syarat berfatwa dan Mufti, tentulah kamu akan menyedari betapa jauhnya jurang sebenar antara kamu (yang suka mendakwa-dakwi sebegini) dengan para ulama yang benar-benar sampai kepada peringkat mengeluarkan fatwa.Malah al-Imam Nawawi sendiri menyebutkan bahawa bidang fatwa adalah merupakan bidang yang sangat merbahaya diceburi tetapi sangat tinggi kelebihannya(bagi yang layak sahaja).

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu menyebutkan:

ما أفتيت حتى شهد لي سبعون أني أهل لذلك

Maksudnya:

Aku tidak akan berfatwa melainkan selepas disaksikan oleh tujuh puluh orang ulama bahawa aku benar-benar layak di dalam bidang fatwa ini.

Kalam-kalam sebegini tidak pula dilihat oleh golongan sebegini. Mereka hanya mengambil pendapat-pendapat yang luarannya merupakan suatu kelebihan kepada diri mereka untuk meninggalkan berpegang dengan mazhab itu sendiri. Sedangkan langsung tidak memahami maksud kalam itu sendiri.

Jika kita memahami maksud kalam-kalam yang disebutkan dengan baik maka pendapat Imam Ahmad bin Hambal radhiyallahu anhu juga akan mudah bagi kita memahaminya. Maksudnya Imam Ahmad menyebutkan pendapat tersebut bukanlah untuk orang awam melainkan untuk para ulama yang telah mencapai peringkat Ijtihad.

Al-Allamah Syeikh Muhammad Awwamah hafizahullah menukilkan kalam al-Imam Kairanawi radhiyallahu anhu:

“Maksud sebenar kalam al-Imam Syafie (Jika sahih sesebuah hadis maka itulah Mazhabku) dan kalam ulama yang lain yang menyebutkan sedemikian ialah tidak lain selain ingin menunjukkan kepada kita hakikat bahawa kalam yang menjadi hujjah adalah kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam bukannya kalam kami(para Imam Mujtahid).Seolah-olah Imam Syafie ingin mengatakan: Jangan kamu menyangka kalam aku adalah hujjah berbanding kalam Baginda Sallallahu alaihi wasallam dan aku juga berserah kepada Allah jika pendapat yang aku sebutkan bertentangan dengan Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam.”

Hakikatnya, kalam al-Imam Syafie radhiyallahu anhu adalah merupakan sifat tawaddhuk yang ada pada beliau. Mustahil seseorang Imam tersebut akan mengeluarkan sesuatu hukum dengan hawa nafsunya melainkan setelah dikaji secara terperinci dengan ilmu pengetahuan yang dipelajarinya dan iman yang mendalam.

Oleh sebab itulah al-Imam Ibn Uyainah Radhiyallahuanhu menyebutkan:

الحديث مضلة إلا للفقهاء

Maksudnya:

Hadis adalah sesuatu yang mampu menyesatkan seseorang (yang tidak memahaminya) melainkan kepada para fuqaha(ulama).

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami radhiyallahu anhu menerangkan maksud sebenar kalam al-Imam Ibn Uyainah radhiyallahu anhu di dalam kitabnya Fatawa Hadisiah mukasurat 521:

“Maksud kalam tersebut ialah Hadis adalah seumpama al-Quran yang mana ianya terkadang merupakan lafaz umum tetapi maknanya khusus, ianyanya juga terdapat Nasakh dan Mansukh, terdapat juga hadis yang tidak diamalkan, dan sebahagiannya jika dipegang dengan zahir maka akan menjadi masalah seperti hadis ينزل ربنا (Allah turun ke Langit pertama disepertiga malam). Jadi maksud sebenar sesebuah hadis tidak akan difahami melainkan diterangkan oleh para ulama.Ini berbeza dengan orang yang tidak mengetahui maksud sebenar hadis tersebut melainkan zahirnya semata-mata, maka akan tersesat jadinya seperti yang berlaku kepada sebahagian ulama terdahulu dan terkemudian seperti Ibn Taimiyah dan pengikutnya”

Bagi menentukan sesebuah hadis sahih tersebut bertentangan dengan pendapat Imam Mazhab maka perlu bagi mereka-mereka yang berkata sedemikian mempunyai dua perkara:

1. Kuat sangkaannya bahawa Sang Imam tidak menemukan hadis yang dia temui.

2. Orang yang mengatakan sedemikian mestilah seorang yang benar-benar pakar di dalam ilmu rijal Hadis, Matan Hadis, cara-cara berhujah dengan hadis, dan cara mengeluarkan hukum daripada hadis tersebut berdasarkan kaedah yang diletakkan oleh mazhab.

Sambung...

Sunday, December 6, 2009

Perbahasan Berkenaan "إذا صح الحديث فهو مذهبي " Bahagian 1

Perbahasan Berkenaan "إذا صح الحديث فهو مذهبي "
Penulis : Ustaz Nazrul Nasir


Beberapa hari saya tidak menulis, mungkin agak sibuk dengan persediaan peperiksaan yang semakin hampir. Teringin juga jari-jari ini memetik butang key board menulis semula . Tambahan pula semenjak akhir-akhir ini, golongan “mujtahid jadi-jadian” semakin ramai menceburi bidang penulisan ini. Semakin mereka menulis, semakin saya risau melihat masyarakat yang tertipu dengan gaya bahasa yang mereka gunakan seolah-olah menampakkan bahawa mereka benar-benar orang yang berkelayakkan di dalam memperkatakan tentang permasalahan hukum-hakam. Pelbagai pendapat digunakan oleh mereka demi mempertahankan pendapat-pendapat yang boleh kita klasifikasikan sebagai “menegakkan benang yang basah”.

Kalam para ulama Mujtahid yang sering kita dengar seperti :


* إذا صح الحديث فهو مذهبي
* لا ينبغي لمن لم يعرف دليلي أن يُفتي بكلامي
* لا تقلدني و لا تقلد مالكا و لا الأوزاعي و لا غيرهم و خذ الأحكام من حيث أخذوا

Pendapat-pendapat para Imam Mujtahid ini sering disalah gunakan oleh golongan yang gemar mendakwa-dakwi sebegini.Kalam pertama yang bermaksud (( Jika sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku)) digunakan oleh golongan ini dengan mengatakan bahawa, jika kita berjumpa sebuah hadis yang sahih dan mendapati hadis tersebut bertentangan dengan pendapat Imam Mujtahid ( Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad bin Hambal radhiyallahu anhum), maka dahulukan hadis yang sahih kerana ini juga merupakan pendapat sebahagian para Imam tersebut.

Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan di dalam muqaddimah Majmu’ Syarah Muhazzab:

“ Memang benar al-Imam Syafie menyebutkan :


إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه و سلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه و سلم و دعوا قولي

Maksudnya:

Jika kamu semua (para ulama) mendapati di dalam kitab yang aku tulis menyalahi Sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam maka keluarkan pendapat kamu semua dengan Sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam dan tinggalkan pendapatku.”

Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan lagi bahawa:

Kata-kata Imam Syafie tersebut bukanlah bermaksud sesiapa sahaja yang menjumpai hadis sahih maka terus mengatakan bahawa ianya merupakan mazhab Imam Syafie itu sendiri.Malah beramal dengan zahir kalam itu semata-mata. Bahkan sebenarnya kalam al-Imam Syafie tersebut ditujukan kepada para ulama yang telah sampai kepada peringkat ijtihad di dalam mazhab seperti yang telah kita sebutkan sebelum ini(rujuk Muqaddimah Majmu’ ). Syarat untuk para yang beramal dengan kalam Imam ini ialah mesti tidak meletakkan sangkaan bahawa al-Imam Syafie radhiyallahuanhu tidak berjumpa dengan hadis ini atau tidak mengetahui bahawa hadis ini tidak Sahih. Syarat ini tidak akan dapat disempurnakan melainkan setelah mengkaji dan mentelaah keseluruhan kitab-kitab karangan al-Imam Syafie , kitab-kitab para ulama Syafieyah yang lain dan yang seumpama dengannya. Inilah merupakan syarat yang agak sukar untuk dipenuhi. Hanya sedikit yang dapat menyempurnakan syarat ini.

Maksud kalam al-Imam Nawawi sangat jelas. Agak menghairankan kita, golongan yang mendakwa kalam al-Imam Syafie kadang-kadang bertentangan dengan hadis ini merupakan dakwaan yang ternyata menyimpang. Bahkan kitab-kitab al-Imam Syafie mereka tidak memahaminya dengan baik (maksudnya memerlukan penguasaan bahasa Arab yang tinggi kerana al-Imam Syafie radhiyallahu anhu merupakan seorang ahli Bahasa Arab yang hebat), apatah lagi membacanya. Ini sepatutnya yang disedari oleh mereka. Tetapi ego dan bodoh sombong yang menyebabkan mereka tidak mahu memahami pendapat ulama sebegini.

Oleh kerana itulah kita katakan, perlu membaca kitab para ulama dengan para alim-ulama yang benar ilmunya, bukan dengan pembacaan secara persendirian tanpa guru yang membimbing. Akan sesat jadinya. Ini asas pertama yang perlu diperbetulkan oleh mereka. Akhir-akhir ini kita melihat mereka juga belajar dengan guru, tetapi guru yang mengajar pula hakikatnya belajar dengan guru yang tidak belajar dengan ulama yang benar ilmunya,bersih pengambilannya serta jauh daripada pendapat-pendapat yang menyalahi jumhur para ulama.

Kata Imam Nawawi lagi menukilkan kata-kata Imam Abu Amru Ibn Salah rahimahumallah:

“Kalam al-Imam Syafie tersebut bukanlah boleh diamalkan dengan zahir luarannya semata-mata,Bukanlah semua ulama yang Faqih (hebat dalam ilmu fiqhnya) beramal secara terus daripada hadis yang dirasakan hujah baginya.”

Kata Imam Abu Amru Ibn Salah lagi:

“ Jika seorang ulama bermazhab Syafie tersebut menjumpai sebuah hadis yang menurutnya bertentangan dengan mazhab yang dipegangnya, Maka perlu dilihat semula kepada keahlian orang tersebut. Jika ulama tersebut telah mencapai peringkat Ijtihad (seperti yang kita sebutkan di dalam keluaran yang lepas) maka tiadalah masalah baginya untuk beramal dengan hadis tersebut. Tetapi jika dia masih tidak mencapai tahap Ijtihad dan menyukarkan baginya menemukan sebab-sebab pertentangan hadis tersebut dengan kalam Imam Mazhab @ Mazhab itu sendiri maka bolehlah baginya beramal dengan hadis tersebut jika terdapat seorang lagi Imam Mujtahid Mutlak selain Imam Syafie(seperti Imam Abu Hanifah , Malik, Ahmad dan lain-lain).”

Kata al-Syeikh Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani hafizahullah(bukan Syeikh Nasiruddin al-Albani) di dalam risalah kecilnya berkenaan kalam tersebut:

Maksud kalam tersebut ialah:

Kata para imam , kalam tersebut ditujukan kepada para ulama yang benar-benar berkelayakkan di dalam mengeluarkan hukum.Mereka(yang dibenarkan) adalah merupakan para ulama yang hebat di dalam ilmu hadis. Ini bermakna, jika sahih sesebuah hadis sahih tersebut yang bertepatan dengan syarat-syarat pengambilan sesebuah hadis dan kaedahnya berdasarkan mazhab yang mereka gunakan , maka gunakan hadis tersebut. Bukannya kalam tersebut menyuruh setiap kali membaca hadis yang sahih maka tinggalkan beramal dengan pendapat imam mazhab.

Sebaliknya golongan yang sering mendakwa-dakwi ini, menggunakan pendapat ini dengan luarannya sahaja, bukan maksud sebenar kalam tersebut.

Al-Imam Malik Radhiyallahuanhu menyebutkan kepada para muridnya(yang merupakan para mujtahid) ketika beliau mengeluarkan pendapat di dalam sesebuah hukum,

“ Kamu perlu mengkajinya semula, ini kerana ianya merupakan pegangan agama kita.Tiada seorang pun boleh diterima pendapatnya bulat-bulat tanpa perlu dikritik, melainkan pendapat yang dikeluarkan oleh pemilik Maqam yang mulia ini( mengisyaratkan kepada Saidina Muhammad sallallahu alaihi wasallam).”

Saya ingin bertanya, adakah Imam Malik radhiyallahu anhu bercakap seorang diri ketika tersebut? Atau adakah beliau mengucapkan pendapat tersebut dihadapan orang awam yang tidak mengerti hukum-hakam? Jawapannya tentu tidak sama sekali. Golongan yang dibicarakan oleh al-Imam ialah merupakan kelompok mujtahid. Seolah-olah al-Imam ingin memberitahu kepada murid-muridnya bahawa mereka juga telah sampai kepada peringkat Ijtihad yang tinggi. Syarat-syarat untuk menjadi seorang mujtahid telah saya terangkan di dalam keluaran yang lalu. Jika syarat sebegini masih tidak jelas, maka bagaimana seseorang tersebut boleh mengaku bahawa dia juga boleh mengeluarkan hukum terus daripada al-Quran dan Sunnah?

Sambung...

Friday, December 4, 2009

Apa Hukum Mengikut Mazhab?

Hukum Mengikut Mazhab Wajib ?
Dimasukkan oleh IbnuNafis
Label: Faham Tentang Usul Fiqh
Penulis : Dr Asmadi Mohamed Naim


Saya didatangi dengan soalan 'adakah mengikut mazhab itu wajib?'. Saya akan cuba menjelaskan secara ringkas.

Secara khususnya, seseorang yang bertaraf mujtahid adalah dilarang mengikut mazhab sebalikny...a hendaklah dia berijtihad berdasarkan dalil al-Quran dan sunnah.

Bagaimana pula orang-orang awam?
Sepakat ulama-ulama Usul (untuk diiktiraf ulama usul mereka mesti mahir quran & sunnah dan penafsirannya) mengatakan mazhab orang-orang awam ialah mazhab muftinya, kerana sekiranya didatangkan dalil kepada orang-orang awam, dia tidak tahu sahihnya atau dhaifnya; atau dia tidak tahu cara penghujahannya; dan dia juga tidak tahu nasikh atau mansukh. Akhirnya dia juga terpaksa bertaqlid dengan ustaz-ustaz untuk bertanya mana sahih, dan yang mana dhaif; atau bertanya maksudnya. Maka muqallid jugalah tu, Cuma berubah dari taqlid Imam-Imam mazhab kepada taqlid ustaz itu.

Apabila ditanya kepada saya, adakah saya mengikut mazhab, saya katakan:
Saya bukan mujtahid, jadi saya mengikut dan mengeluarkan pandangan kebanyakkannya berdasarkan mazhab Imam Shafie Rahimahullah seboleh mungkin.

Saya ditanya lagi: Kalau begitu ustaz seorang muqallid (pentaklid) jugalah? Saya katakan:
Antara muqallid dan mujtahid, ada martabat pertengahan iaitu 'muhafiz', iaitu berpegang pada pandangan mazhab, dengan juga melihat dalil-dalil. Kalau saya dapat sampai ke tahap ini, saya bersyukur banyak-banyak pada Allah SWT.

Saya ditanya lagi: Kenapa Ustaz berpegang pada pandangan orang dah mati? Saya katakan:
Ulama Usul sepakat membenarkan berpegang kepada pandangan orang yang sudah mati sebab yang mati ialah orangnya, tapi ilmunya tidak mati.

Saya ditanya lagi: Kenapa Ustaz tak mengikut mana-mana profesor/Dr/Ustaz sekarang yang boleh bina mazhab sendiri? Saya jawab:
Kenapa perlu saya berubah keyakinan dari orang yang dekat zamannya dengan Rasulullah SAW (العالي), kepada orang di zaman sekarang (النازل) yang saya tak tahu sejauh mana ketakwaan dia dan ilmunya!

Saya ditanya lagi: Tak cukupkah ijazah PhD yang ustaz dapat untuk menjadi mujtahid? Saya akan katakan sambil gelak:
Tidak ada pun ulama-ulama besar mensyaratkan ada PhD/Prof. Madya sebagai mujtahid. Setahu saya mereka mensyaratkan hafal al-Quran dan sunnah, tahu ijma' dan qiyas, mahir dalam usul fiqh, mahir bahasa Arab, tahu nasikh dan mansukh dan lain-lain beserta sifat taqwa! Sistem belajar sekarang, kalau saya kaji pasal kuman, saya mahir dalam kuman sahaja, belum lagi bidang lain. Untuk Prof. Madya/prof pula, kena tulis bagi masuk Jurnal-Jurnal terkemuka, buku-buku, buat kajian dan markah-markah persidangan, jawatan dan sebagainya. Tapi kalau banding dengan kitab-kitab ulama dulu yang tebal-tebal dan diiktiraf dalam pelbagai bidang, merah padam dan malu rasanya. Bersyukurlah kalau dapat menjadi hamba yang tahu dirinya......

Saya ditanya lagi: Habis tu, ada orang mendakwa dia mampu berijtihad! Saya katakan lagi:
Biarkan Si luncai terjun dengan labu-labunya....... adakah anda mahu terjun sama...silakan....tapi belum pasti selamat....

Mungkin petikan dari kitab al-Sheikh Mahmud Sa'id Mamduh (dalam kitabnya al-Ta'rif bi Auham man qassama al-Sunnan Ila Sahih wa Dhaif, jilid 1, halaman 14) membantu kefahaman pembaca:

Faedah ke 3

Sesungguhnya aku melihat al-Ustaz al-Sheikh ((Muhammad Nasruddin Al-Bani)) melarang beramal dengan sebarang hadis-hadis dhaif, dan mewajibkan membezakan antara sahih dan dhaif –berdasarkan pandangannya- untuk dia mempromosikan kepada orang ramai dengan sesuatu yang dinamakan- "al-fiqh al-musaffa (fiqh tulen/suci) – sila rujuk muqaddimah Sahih al-Adab al-Mufrad, 2000, hal.32, Cetakan Dar al-Buhuth lil Dirasat al-Islamiyyah).

Ketika itu dia mempunyai tugasan untuk menjelaskan apa yang dinamakan 'fiqh musaffa'; maka beliau melakukan pembahagian kitab-kitab Sunan yang empat kepada dua bahagian:
1. Sahih dan hassan, yang boleh diamalkannya.
2. Dhaif, tidak boleh diamalkannya, dan dia gabungkan dengan hadis-hadis wahiyat(rekaan) dan maudu'at(palsu) dalam satu bab.

Sesungguhnya aku melihat perbuatannya ini, bertentangan dengan jalan para fuqaha dan ulama hadith. Sesungguhnya dia mencipta satu kecacatan besar, dan satu keraguan besar pada dalil-dalil furu' fiqh yang umum, dan mencabut thiqah (keyakinan masyarakat) terhadap ulama-ulama fiqh, hadith dan terhadap warisan penulisan fiqh, hadith yang diwarisi dan umat bangga dengannya.

Tambahan pula, dia juga diuji dengan mengingkari sebahagian jalan-jalan para fuqaha' dan ulama hadis pada mensahihkan dan mendhaifkan hadith dan hukum ke atas rawi. Dia menuduh ulama-ulama silam sebagai 'tidak konsisten' pada satu ketika, dan pada ketika lain sebagai memudah-mudahkan'.

Maka menyangkalah orang-orang yang tidak mengetahui (jahil), bahawasanya, dengan berbeza pandangan Albani dengan fuqaha', muhadthin dan para penghafal hadith, Albani telah mendatangkan sesuatu yang sukar bagi ulama-ulama silam (samada Mutaqaddimin atau mutaaakhkhirin) memahaminya dan menguasainya, maka bersegeralah mereka bertaklid padanya, dan orang-orang ini meninggalkan para Imam-imam dan penghafal hadith, dan beramal secara berbeza dari apa yang diwarisi dari Imam-Imam, ijtihad ulama mujtahid; dan Albani menjadi tinggi dari mereka. Maka jadilah Sheikh Muhammad Nasiruddin Albani memindahkan orang ramai dari mengikuti 'orang yang dekat zamannya dengan Rasulullah' (العالي), kepada 'seorang yang zamannya jauh daripada Rasulullah' (النازل), dan menjauhkan mereka daripada mengikuti Imam-Imam Mujtahid dan para penghafal hadith kepada mengikutinya seorang sahaja."
Tamat Nukilan

Terpulang kepada pembaca membuat pertimbangan. Pada saya berpegang pada ijtihad dahulu lebih selamat dari berpegang kepada ijtihad sekarang yang kelihatan carca merba metodenya dan bertaklid dengan orang-orang baru (al-nazil).

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesesatan dan menganugerahkan kita jalan yang lurus.

Wallahu a'lam.