BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, February 12, 2009

Demi masa

Apabila kita mengetahui bahawa masa itu ialah "kehidupan", maka wajiblah ke atas setiap yang bergelar muslim menjaga masanya. Tidak mencukupi sekadar menyedari kewajipan menjaga masa sahaja, bahkan wajiblah meletakkan pengurusan masa itu sepertimana yang dikehendaki oleh Islam.

Kewajipan yang pertama ke atas setiap muslim ialah memastikan masanya diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah untuk dunia dan akhirat. Seterusnya untuk kesejahteraan ummah sejagat, rohani dan jasmani.

Di dalam Al-quran terdapat satu surah yang cukup terkenal yang membicarakan tentang masa(surah al-Asr). Para perawi menyebut bahawa 'Amru al-Asr menemui Musailamah al-Kazzab, peristiwa ini berlaku selepas baginda diutus menjadi Rasul dan sebelum beliau memeluk Islam. Bertanya Musailamah kepada 'Amru "Apa yang diturunkan kepada sahabatmu(Muhammad) setakat masa ini? Jawab 'Amru: sesungguhnya telah turun satu surah ringkas yang penuh bermakna. Tanya Musailamah: apakah dia? 'Amru menjawab: Firman Allah yang bermaksud "Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta saling berpesan agar menurut kebenaran dan berpesan agar bersabar(menghadapi halangan)" Lantas Musailamah pun berfikir sejenak, kemudian beliau berkata: Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku surah seperti itu. 'Amru berkata kepadanya, Apakah dia? lalu Musailamah berkata " wahai bintang ubar, wahai ubar. Molekmu hanya tentang telinga dan dada yang lebar. yang lainnya penuh bintat dan calar" Kemudian Musailamah bertanya kepada 'Amru. Apakah pendapat kamu wahai 'Amru? Demi Allah, engkau maklum bahawa aku tahu engkau berdusta.

Imam al-Tabrani menyebutkan riwayat daripada Ubaidullah bin Hafs katanya: "Apabila terdapat 2 orang sahabat Rasulullah bertemu, mereka tidak akan berpisah melainkan salah seorang membaca surah al-Asr sampai habis kepada sahabatnya, kemudian barulah mereka memberi salam satu sama lain"

Manakala Imam al-Syafie Rahimahullah berkata: "Kalau orang ramai merenung dan mengambil pakai surah ini pun sudah memadai bagi mereka." Didalam surah ini juga Allah bersumpah dengan masa bagi membuktikan kemulian dan kepentingan masa kepada manusia. Lantaran itu Rasulullah bersabda menerusi hadis yang dirawayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah, maksudnya: "Janganlah kamu mencela masa kerana Allah itu sinonim dirinya dengan masa".

Khalifah Umar 'Abdul 'Aziz ada menyatakan, "sesungguhnya malam dan siang sedang melakukan terhadap kamu, maka hendaklah kamu bertindak terhadap keduanya."
Mereka menyatakan, perkara yang amat tidak disukai oleh mereka ialah 'membung masa.'

Bagi mereka yang membuang masa tanpa amalan yang berfaedah ataupun tanpa dapat menambahkan ilmu pengetahuan, keimanan dan amal soleh adalah dianggap sebagai kufur nikmat.

Apabila kita menghitung, sesungguhnya seseorang yang membuang masa itu adalah lebih rugi daripada seorang yang bodoh di dalam membelanjakan hartanya. Hal ini kerana, harta boleh dicari ganti, adapun masa tidak dapat dicari ganti.

Para ulama terdahulu amat tidak menyukai apabila seseorang lelaki yang tidak mengisi masa lapangnya dengan amalan-amalan kebaikan. Dengan itu, masa bukan lagi nikmat kepada seseorang itu, sebaliknya menjadi bala kepadanya, lelaki mahupun perempuan. Ada yang menyatakan, masa lapang bagi seorang lelaki adalah "kelalaian" manakala bagi seorang perempuan adalah "pembuka jalan ke arah mengikut kehendak hawa nafsunya".

Bukankah Zulaikha isteri Raja Mesir terpikat kepada Nabi Allah Yusuf'AlaihisSalam dan cuba memikatnya ketika Zulaikha tidak mempunyai sebarang pekerjaan (berada di masa lapang)?
Adalah amat merbahaya, apabila masa lapang dimiliki oleh para pemuda dipersia-siakan.

Perjalanan harian kehidupan ini, adalah tanda bagi mereka yang mempunyai akal untuk berfikir dan yang mempunyai mata untuk melihat. Sebaliknya, barangsiapa yang mempunyai akal, tidak mahu berfikir, tentang perubahan alam ini maka tidak memberikan apa-apa kesan untuknya.

Lalu,duhai para sahabatku yang budiman apakah anda semua sedar apa yang telah anda lakukan sepanjang masa yang telah dianugerahkan-Nya? Tidak perlu berfikir panjang sekadar ingat semula apa yang anda telah lakukan sejurus sebelum anda melayari blog dan membaca artikel ini? Adakah apa yang anda lakukan itu sesuatu yang berfaedah atau picisan semata-mata? Renung-renungkanlah...

0 comments: